KUALA LUMPUR:Pasukan hoki lelaki dan wanita kebangsaan perlu menunggu lebih lama sebelum dapat kembali menyertai pertandingan antarabangsa berikutan penangguhan dua kejohanan utama Asia.

Menurut Persekutuan Hoki Asia (AHF), Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh pada 11-19 Mac dan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac hingga 7 Apr telah ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Badan sukan hoki Asia itu memutuskan untuk menangguhkan kedua-dua kejohanan terbabit sehingga separuh kedua tahun ini demi kepentingan keselamatan dan kesejahteraan semua peserta.

Menurut AHF, langkah beberapa negara di Asia mengenakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung wabak itu turut menjejaskan persiapan pasukan dalam menjalani latihan.

"Ancaman situasi tidak menentu dan kurang baik dihadapi pasukan bertanding adalah satu faktor lain. AHF sentiasa berusaha menyediakan peluang seimbang kepada semua dan berikutan itu kami tidak dapat meneruskan kejohanan dalam keadaan tidak menentu ini.

"Akhirnya, varian baharu COVID-19 telah melumpuhkan dunia sekali lagi, dan kami tidak dapat meneruskannya dalam ancaman baharu ini," menurut AHF dalam laman sesawangnya.

AHF memaklumkan bahawa keputusan penangguhan kedua-dua kejohanan itu dipersetujui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sambil menambah bahawa kedua-dua kejohanan membabitkan pasukan lelaki dan wanita itu kemungkinan berlangsung pada September dan Oktober.

-- BERNAMA