KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempergiat proses vaksinasi dos penggalak COVID-19.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya kini sedang menjadualkan janji temu kepada individu yang layak.

"Majoriti janji temu akan ditetapkan di klinik swasta.

"Kes mungkin berkurangan, tetapi kemasukan ke hospital meningkat di beberapa negeri," katanya menerusi ciapan di Twitter. 


Beliau sebelum itu melakukan tinjauan proses vaksinasi dos penggalak melibatkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat di Dewan Bankuet, Kompleks Parlimen.

KKM hari ini memberikan dos penggalak Pfizer bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 4 petang di Dewan Bankuet di Bangunan Parlimen. 

Berdasarkan tinjauan, rata-rata Ahli Parlimen mula menunggu giliran masing-masing seawal jam 9.20 pagi. 

Turut menerima dos penggalak hari ini adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Antara anggota Kabinet dan Ahli Dewan Rakyat yang menerima suntikan pagi ini adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun; Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) dan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai).

Azhar ketika ditemui pemberita berkata, pemberian dos penggalak di Bangunan Parlimen itu bagi memastikan tahap keselamatan semua Ahli Parlimen berada pada tahap optimum.

Ini kerana, mereka sering berjumpa rakyat dan pulang ke kawasan masing-masing khususnya ketika musim banjir. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KKM kerana menyediakan dos penggalak kepada semua Ahli Parlimen,” katanya. 

Pemberian dos penggalak bermula di seluruh negara 13 Okt lepas untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum, khususnya terhadap jangkitan varian Delta. 

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) antara Ahli Dewan Rakyat yang menerima dos penggalak COVID-19 hari ini. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menerima suntikan dos penggalak hari ini. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia