Pelaksananaan aktiviti pendekatan tertumpu atau targeted approach berjaya menunjukkan impak positif dalam mengesan lebih banyak kes jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti beberapa kumpulan sasar membabitkan lapan kluster jangkitan itu.

"Antara kumpulan sasar itu ialah peserta perhimpunan di Seri Petaling dan kontak rapat mereka; pelajar serta kakitangan madrasah dan tahfiz yang berkait rapat dengan perhimpunan di Seri Petaling; rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan ditempatkan di pusat-pusat kuarantin.

"Selain itu, anggota kesihatan KKM; penduduk di lokaliti-lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD); Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan pasar-pasar yang berkait rapat dengan PBKL; pekerja asing di tapak pembinaan di zon merah dan rumah jagaan warga emas," katanya dalam sidang media harian pada Ahad.

BACA: COVID-19: 67 kes baharu, tiada kematian direkod

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, masyarakat tidak perlu khuatir dengan peningkatan kes baharu susulan pendekatan tertumpu yang agresif dan proaktif diyakini dapat mengurangkan kes.

"Kes-kes yang dikesan ini sememangnya diasingkan dan diberi rawatan di hospital bagi memastikan virus ini tidak terus menular dalam kalangan masyarakat," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta agar semua pihak dapat menzahirkan kerjasama dalam memerangi wabak COVID-19.

"Masyarakat perlu mengambil tanggungjawab sosial dan mempunyai kawalan kendiri.

"KKM ingin menasihatkan orang ramai untuk terus mempraktikkan norma baharu dalam kehidupan khususnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB)," tambahnya.