COVID-19: Anak imam, guru kes indeks dua kluster baharu di Sabah

Ruzaini Zulkepli
Mei 17, 2021 15:16 MYT
Dua kluster baharu direkodkan di negeri Sabah pada hari ini melibatkan kes indeks anak imam dan guru.
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di negeri Sabah pada hari ini melibatkan kes indeks anak imam dan guru.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkat, dua kluster berkenaan masing-masing berlaku di Kunak dan Tawau itu berlaku antara 4 dan 7 Mei lalu.
"Kluster Sungai Langgas di Kunak melibatkan komuniti di Kampung Langgas. Kes indeks merupakan anak perempuan kepada Imam Masjid Al-Mansa, 21, yang disahkan positif selepas menjalani saringan bergejala di Hospital Kunak pada 4 Mei.
"Manakala bagi Kluster Jalan Imam Jalilul di Tawau mula dikesan apabila kes indeks iaitu guru elaki, 41, di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih dan tinggal di Kuarters SMK Pasir Putih menjalani saringan bergejala pada 7 Mei.
"Kluster Sungai Langgas telah merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 19 kes dan Kluster Jalan Imam Jalilul pula jumlah sebanyak 11 kes, "katanya.
Beliau yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah berkata demikian dalam laporan hariannya, malam ini.
Sementara itu, bagi perkembangan kes COVID-19 di Sabah, Masidi berkata, 60 kes baharu dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif terkini adalah sebanyak 59,409 kes.
"Satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Keningau," katanya lagi.
#Kluster baharu #Tawau #kunak #anak imam #guru #Sabah #Masidi Manjun #COVID-19