KUALA LUMPUR:Jumlah kes aktif COVID-19 kini mungkin melepasi kapasiti maksimum Kementerian Kesihatan iaitu sebanyak 23,000 kes untuk ditempatkan di hospital dan pusat kuarantin dan rawatan (PKRC) COVID-19.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman, ia bakal memberi kesan kepada pesakit bukan COVID-19 yang memerlukan rawatan kecemasan di hospital.

“Bayangkan, kalau sistem sudah penuh, maksudnya katil pesakit di hospital semuanya telah digunakan untuk pesakit-pesakit.

“Jadi keadaan tersebut akan memaksa berlakunya keadaan di mana doktor terpaksa memilih siapa yang lebih patut diutamakan.

“Jadi mereka yang mungkin berisiko dan dari segi jangkaan memang sukar untuk diselamatkan, akan dikeluarkan daripada senarai yang menunggu kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU),” jelasnya.

BACA: Pakar kesihatan rayu campur tangan Agong henti PRU15, barisan hadapan tertekan

Bercakap mengenai kesan daripada peningkatan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini melebihi kapasiti maksimum hospital, Dr Malina menambah bahawa ini bakal memberi kesan kepada kakitangan perubatan yang perlu beri keutamaan kepada pesakit kritikal lain.

“Itu satu keadaan, satu keadaan lagi kita bayangkan seseorang individu itu mengalami kecemasan seperti serangan jantung atau kemalangan jalan raya, ataupun sebarang kecemasan yang memerlukan ICU.

“Sekiranya ICU kita penuh, mereka-mereka yang bukan COVID-19 ini yang memerlukan rawatan tidak dapat diberikan rawatan dalam sistem hospital,” tambahnya.

BACA: COVID-19: 3,027 jangkitan baharu, 8 kematian dilaporkan

BACA: COVID-19: Jumlah kes aktif kini lepasi 25,000, ini perincian sidang media KKM

Terdahulu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia kini melebihi angka 25,000 iaitu sejumlah 25,221 telah disahkan setakat ini.

Tiga hari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 22,089 kes yang menghampiri kapasiti maksimum KKM iaitu sebanyak 23,000 kes untuk ditempatkan di hospital dan PKRC.


Buletin AWANI Khas: COVID-19 | Malaysia catat kes harian baharu tertinggi