SETIAP bulan September setiap tahun, syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc pada kebiasaannya akan membuat perancangan untuk melancarkan model telefon pintar terbaharu, iPhone.

Namun, ini berita sedih buat pengguna iPhone kerana pelancaran siri baharunya, iaitu iPhone 12, dijangka akan ditunda selama dua bulan susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut laporan sekumpulan penganalisa dari JPMorgan, situasi sekatan perjalanan akibat pandemik melanda dunia ketika ini diramal memberi kelewatan kepada proses ujian pengesahan dan kejuruteraan produk terbabit.

“Kami percaya penangguhan pelancaran iPhone selama satu hingga dua bulan akan berlaku,” tulis laporan itu merujuk kepada impak COVID-19 kepada pelancaran model baharu itu yang dijangka keluar pada September.

Dalam pada itu, penganalisa turut berkata penangguhan untuk pembinaan rangkaian 5G di Amerika Syarikat akibat COVID-19 juga boleh memberi kesan kepada pelancaran telefon pintar generasi baharu syarikat itu.

Jelasnya, Apple Inc dilaporkan bimbang akan situasi itu sedikit sebanyak menyebabkan kemerosotan jualan permulaan produk itu ekoran impak pandemik kepada ekonomi dunia.

Memetik laporan Business Insider, model iPhone 12 bakal hadir dengan sokongan sistem rangkaian 5G, lensa kamera dengan sensor mendalam seperti ciri pada iPad Pro dan reka bentuk terbaharu.