COVID-19: ATM tubuh MTC di Penjara Kepayan

Isabelle Leong
Oktober 20, 2020 11:06 MYT
MTC yang ditubuhkan di Penjara Kepayan adalah mengikut model serupa yang telah dilaksanakan seperti di Penjara Pokok Sena, Kedah, sebelum ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mewujudkan ‘Makeshift Treatment Centre’ atau pusat rawatan sementara di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MTC di dalam kawasan penjara itu bertujuan untuk dijadikan pusat rawatan atau tempat pengasingan pesakit yang dijangkiti COVID-19.
“Sidang Khas mendengar pembentangan daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah mengenai keperluan untuk menambah fasiliti perubatan di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu yang telah dikenakan PKPD bermula hari ini akibat daripada peningkatan jumlah positif COVID- 19 di penjara tersebut.
“MTC ini adalah mengikut model serupa yang telah dilaksanakan seperti di Penjara Pokok Sena, Kedah, sebelum ini dan persediaan akan dilakukan dalam masa yang terdekat,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, ATM juga bersedia untuk membuka Hospital Medan di Kota Kinabalu jika terdapat keperluan.
"Hospital Medan di Tawau sudah beroperasi dan hari ini menerima empat pesakit.
"Operasi hospital ini adalah sebagai sokongan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan memberi fokus kepada rawatan kes bukan COVID-19 dan memberi ruang hospital KKM memberi fokus dalam menangani wabak itu," katanya.
Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beliau berkata, PDRM telah menahan 460 individu pada Isnin atas kesalahan ingkar arahan.
“Daripada jumlah itu, seramai 440 individu dikompaun manakala 20 lagi direman,” katanya.
Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata, 57 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.
#Penjara Kepayan #MTC #Makeshift Treatment Centre #Kota Kinabalu #Sabah #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #COVID19