Kebanyakan krisis berskala besar yang melanda global pada masa lepas telah melahirkan banyak peluang dan ruang, yang akhirnya menjadikan manusia lebih berkebolehan.

Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin berkata, buat masa kini COVID-19 telah memberikan impak yang sangat besar kepada keadaan global, seperti kejatuhan pasaran stok, kesan kepada industri penerbangan dan sebagainya.

Namun, beliau berkata, krisis lepas seperti penularan SARS pada 2004 turut telah melahirkan portal e-perniagaan Alibaba, manakala krisis kewangan 2008 telah melahirkan lebih banyak syarikat pemula niaga (startups).

“Jadi saya rasa krisis berskala besar seperti COVID-19 ini menghasilkan peluang yang baru untuk modul bisnes. Saya faham orang akan kata, ia lebih mudah diungkapkan dari dilaksanakan, tetapi kita semua adalah bersama-sama dalam hal ini.

“Saya tak fikir menyembunyikan kenyataan akan membantu dalam hal ini. Tetapi bagi menstabilkan semula ekonomi, amat penting untuk kita rangka semula strategi berdasarkan data saintifik dan orang seharusnya lebih berinovatif,” katanya lagi.

Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata demikian dalam sesi telekonferens anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) hari ini.

Sesi itu yang bertajuk - “Inisiatif MOSTI dalam menangani pandemik berterusan” - dikendalikan oleh Pentadbir EUMCCI Deda Rizwani, turut disertai Ketua Pengarah Eksekutif EUMCCI Sven Schneider, Pengerusi EUMCCI Oliver Roche, dan Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia Maria Castillo Fernandez.

Dalam pada itu, Khairy berkata, ada beberapa perkara sebagai contoh, yang boleh dilaksanakan dengan kadar segera, seperti pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), atau memastikan akses pendidikan dalam talian lebih luas untuk murid di luar bandar dan kawasan pendalaman.

Selain itu, beliau berkata, kajian juga harus tertumpu ke arah perubahan baik dari sikap pengguna, mahupun perniagaan, dan lihat kembali sektor yang mungkin terjejas paling teruk akibat COVID-19 ini.

“Perubahan ini bermaksud rantaian bekalan turut akan berubah. Di sinilah pentingnya untuk kita melihat kembali penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan robotik...dan di sinilah kita ingin adakan kerjasama rapat dengan EUMCCI,” katanya lagi.