Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada Rabu mengesahkan beberapa berita berkaitan COVID-19 yang tular di media sosial adalah palsu.

Ini termasuk dakwaan mengatakan pelajar tahfiz bakal menjadi kluster baharu wabak itu selepas kluster tabligh.

Pasukan Respon Pantas KKMM dalam satu pemakluman berita palsu semalam turut menafikan dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan senarai semak simptom-simptom COVID-19 yang menyalahgunakan logo kementerian itu.

Selain itu, menurut kenyataan itu, Pos Malaysia juga menafikan seorang pekerjanya positif COVID-19.

Tambah kenyataan itu lagi, Kementerian Luar Negeri (KLN) turut memaklumkan dakwaan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari India hanya terdiri daripada ahli MIC sahaja adalah tidak benar.

BACA: 558 rakyat Malaysia terkandas di India selamat tiba di tanah air

Kementerian itu, bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus berusaha membawa balik rakyat Malaysia yang masih terkandas di India.

Untuk rekod, sehingga Rabu, seramai 1,679 rakyat Malaysia masih terkandas di India.

.