KUALA LUMPUR: Biarpun vaksin COVID-19 masih belum diwajibkan penggunaannya ke atas kesemua rakyat Malaysia, namun, ia harus dilihat sebagai satu keperluan pada masa kini.

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Prof Madya Shamsul Bahari Shamsudin berkata, pemberian vaksin merupakan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang untuk untuk mengawal penularan wabak di negara ini.

Selagi tidak mencapai tahap kelompok imuniti, tambah beliau, selagi itu pemberian vaksinasi harus dilakukan seluas mungkin.

“(Pemberian vaksin ini harus diteruskan) sehingga negara kita atau masyarakat kita mencapai satu keadaan di mana kita sebut sebagai imuniti kelompok. Di samping itu juga kita tak boleh abaikan SOP (prosedur operasi standard) sedia ada.

“Apa yang penting masyarakat harus lebih memandang ke hadapan, fokus dalam menyokong proses vaksinasi. Kerana ia bukan sahaja berkepentingan untuk melindungi diri, tetapi juga meningkatkan imuniti masyarakat dan orang sekeliling,” katanya dalam wawancara bersama Buletin AWANI pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mengumumkan jumlah pemberian harian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di seluruh negara semalam telah melepasi angka 300,000 buat kali pertama, iaitu 313,761.

Menerusi paparan grafik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang beliau kongsikan hari ini, penerima dos pertama semalam ialah seramai 196,603 orang, manakala penerima dos kedua ialah 117,158 orang.


Selain itu, jumlah kumulatif penerima dos pertama di seluruh negara kini telah mencapai 20.2 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia, iaitu seramai 6,585,002 orang.

Dalam pada itu, Shamsul Bahari berkata, pembukaan sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) memerlukan pemberian vaksin yang lebih meluas.

“Kalau kita lihat baik di Semenanjung, Sabah atau Sarawak, sektor yang perlu diberi perhatian, yang perlu lihat secara kritikal, antara lainnya ialah sektor tempat kerja, peniaga serta pendidikan. Ini sektor-sektor yang kritikal.

"Jadi apa salahnya untuk kita memvaksinasi mereka ini atau masukkan mereka dalam kategori yang diberi keutamaan,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan, peniaga di Pasar Sentral Sibu, Sabah, serta pasar malam daerah itu tidak akan diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan sekiranya enggan menerima vaksin COVID-19.

Langkah itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Kecil Sibu, Albert Tiang Ming Ing, merupakan inisiatif dalam memastikan semua penjaja terlibat divaksinasi, pada masa sama memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berbelanja.