COVID-19 bukan lagi 'kecemasan antarabangsa' - KKM

Bernama
Mei 8, 2023 05:04 MYT
Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan COVID-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan COVID-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu susulan daripada hasil mesyuarat Jawatankuasa Darurat Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang berlangsung pada 4 Mei di Geneva.
"Keputusan ini mengambil kira trend global yang menunjukkan penurunan bagi kes kematian COVID-19, kemasukan kes ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tahap imuniti populasi dunia terhadap virus SARS-CoV-2 yang tinggi," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, antara penyumbang keputusan tersebut melibatkan kebolehcapaian kepada diagnosis, rawatan, dan vaksin serta pemantauan varian virus SARS-CoV-2 juga menunjukkan tidak menyebabkan jangkitan COVID-19 yang teruk.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan dari 1 Jan hingga 30 Jun dan menjangkakan penilaian risiko situasi jangkitan COVID-19 akan dilaksanakan pada pertengahan Jun 2023 bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.
"Kementerian Kesihatan akan meneruskan langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berdasarkan protokol sedia ada serta membuat semakan semula dan mengemas kini garis panduan COVID-19 denganmerujuk kepada kenyataan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) berkaitan transisi pengurusanjangka masa panjang pandemik COVID-19," katanya.
Kementerian Kesihatan sentiasa komited dan akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. - BERNAMA
#COVID-19 #kecemasan antarabangsa #Menteri Kesihatan #Dr Zaliha Mustafa