KUALA LUMPUR : Rakyat di negara ini tidak lagi meletakkan situasi COVID-19 sebagai satu perkara yang membimbangkan sejak negara mula melangkah masuk ke fasa peralihan endemik.

Pengarah Bersekutu Hal Ehwal Awam Ipsos, Lars Erik Lie berkata, bahkan kehidupan masyarakat yang telah menerima norma baharu itu membuatkan mereka kembali kepada kehidupan sebelum ini.

Ini termasuk kesanggupan orang ramai untuk kembali berbebelanja yang menunjukkan perubahan yang agak tinggi bagi tempoh 12 bulan.

“Memandangkan norma baru kini sudah menjadi kebiasaan menggantikan 'normal lama', keselesaan berbelanja membeli barangan rumah dan pembelian utama seperti rumah dan kereta berada pada tahap tertinggi dalam tempoh 12 bulan.

“Ketika Malaysia sedang memasuki fasa endemik dan negara dilihat semakin terbuka, terdapat penurunan yang ketara terhadap kebimbangan orang ramai mengenai COVID-19 dan kebimbangan mengenai virus ini berada pada tahap yang terendah sejak bermulanya fasa pandemik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Ipsos pada Mei, terdapat lima perkara utama yang menjadi kebimbangan rakyat di negara ini yang terdiri daripada isu rasuah, pengangguran, COVID-19, kemiskinan, dan juga soal inflasi.

Daripada kesemua perkara itu, isu rasuah merekodkan kebimbangan yang tertinggi diikuti soal pengangguran dan COVID-19.

Secara keseluruhan, kerisauan orang ramai yang semakin menurun terhadap COVID-19 telah menyaksikan permintaan konsumer mula kembali pulih.

Perkara itu secara tidak langsung memberi kesan terhadap kadar inflasi yang dijangka akan berlaku peningkatan susulan tekanan terhadap rantaian bekalan.