COVID-19: Dakwaan lima remaja maut selepas divaksin, ini jawapan KKM

Nailah Huda
September 29, 2021 09:34 MYT
Menurut Dr Noor Azmi, KKM menasihatkan semua pengamal perubatan yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan siasatan terhadap kenyataan seorang aktivis dalam satu video yang tular di media sosial yang mendakwa lima orang remaja meninggal dunia selepas menerima vaksin wabak COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali merangkap Pengerusi Pasukan Bertindak COVID-19 (CITF) Remaja dalam satu kenyataan memperincikan hasil siasatan oleh KKM terhadap setiap dakwaan dalam video yang mula tular sejak semalam.
Dakwaan kematian di Ipoh
Menurut seorang aktivis dalam video berkenaan, dua pelajar Sekolah Menengah Tasek Damai, Ipoh didakwa meninggal dunia selepas diberi vaksin.
Namun, hasil siasatan KKM mendapati seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang belajar di SMK Tasek Damai merupakan seorang pesakit kencing manis Jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin.
“Pelajar ini dijangkiti COVID-19 dan meninggal dunia pada 18 Ogos 2021 sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula,” jelas Dr Noor Azmi.
Bagi seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dari SMK Tasek Damai, hasil siasatan KKM mendapati dia menghidap penyakit jantung kongenital.
“Pelajar ini telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk.
“Bantuan pernafasan dan resusitasi telah diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September 2021 dan belum menerima vaksin COVID-19. Punca kematian adalah Sepsis with Underlying Congenital Health Disease.
Dakwaan kematian di Sabah
Aktivis tersebut turut mendakwa bahawa seorang lagi remaja meninggal dunia selepas menerima vaksin COVID-19 di Lahad Datu.
Bagaimanapun, menurut kenyataan KKM, hasil siasatan mendapati tidak ada kematian melibatkan remaja selepas vaksinasi dilaporkan di Lahad Datu.
[TERKINI] Dua pelajar sekolah meninggal dunia disebabkan vaksin tidak benar
BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI
Dakwaan kes Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) di Ipoh
Dalam video yang sama, aktivis tersebut turut didakwa enyatakan solidariti terhadap seorang ibu yang didakwa kedua-dua anaknya sedang mengalami kesan sampingan atau AEFI selepas menerima vaksin di Ipoh.
KKM mengesahkan bahawa dua anak-anak tersebut berusia antara 16 hingga 18 tahun mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech) dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh.
BACA: Dakwaan dua pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia akibat vaksin COVID-19 tidak benar

Kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia Penjelasan mengenai video viral remaja meninggal dunia akibat kesan sampingan selepas menerima vaksin COVID-19. @Khairykj @DrNoorAzmi pic.twitter.com/HcoO2eANuH

— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) September 29, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Anak yang berusia 16 tahun telah dibenarkan keluar dari hospital manakala remaja yang berusia 18 tahun masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital tersebut.
“Semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan kedua beradik ini masih belum diterima,” jelas Dr Noor Azmi.
Justeru, KKM menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin untuk segera membuat laporan kepada NPRA.
“Dalam pada itu, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty.
“Ini kerana kesan sampingan selepas vaksinasi boleh berlaku dan kebanyakan kesan adalah kesan ringan,” tegas Dr Noor Azmi.
“Sila bawa anak atau tanggungan ke fasiliti kesihatan dengan segera untuk rawatan sekiranya mengalami gejala selepas menerima vaksin seperti sakit dada, sukar bernafas, berdebar-debar, bengkak dan gatal pada tubuh yang teruk.”
Pada masa yang sama, KKM turut mengingatkan semua pihak yang ingin membuat kenyataan umum supaya bersedia untuk mengambil tanggungjawab atas kesan dan implikasi daripada tindakan yang dibuat.
#COVID-19 #Kesan Advers Susulan Imunisasi #vaksin remaja #PICK