KUALA LUMPUR: Negara hari ini dikejutkan dengan angka korban tertinggi akibat COVID-19 iaitu 393 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Daripada jumlah itu, 294 melibatkan warganegara sementara 99 kematian lagi terdiri daripada bukan warganegara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga merekodkan 100 kes kematian dalam tempoh yang sama berkaitan dengan Brought In Dead (BID)  dengan pecahan 50 warganegara dan selebihnya warga asing.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kematian korban tertinggi dalam sejarah itu juga, 125 daripadanya melibatkan kes di Selangor.

Beliau berkata,  61 kematian pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diikuti 48 kes (Johor), 33 kes (Melaka), 31 kes (Pulau Pinang), 26 kes (Sabah), 20 kes (Negeri Sembilan), 15 kes (Kedah dan Perak), sembilan kes (Kelantan), lapan kes (Pahang) serta dua kes (Terengganu).

Angka 393 ini sekali gus menjadikan kes kumulatif kematian dalam negara akibat virus itu meningkat kepada 15,211.

Dalam masa sama, Malaysia mencatatkan pesakit sembuh tertinggi dalam tempoh sebulan yang lepas iaitu sebanyak 22,657 kes.

BACA: COVID-19: Malaysia rekod kes positif, kematian tertinggi dalam sehari 

Jika dibandingkan pada 25 Julai 2021, jumlah kes yang didiscaj daripada hospital adalah 1,562 orang dan jumlah ini meningkat kepada 2,153 orang pada semalam (25 Ogos).

Menurut Dr Noor Hisham, jumlah ini turut memberikan petanda yang positif.

Beliau turut memaklumkan, walaupun hari ini negara mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang pandemik, namun, kebanyakan kes yang dilaporkan berada di kategori klinikal 1 dan 2 semasa didiagnos.