COVID-19: Dr Noor Hisham saran orang ramai laksana PKP kendiri

Astro Awani
Mei 10, 2021 00:29 MYT
Dr Noor Hisham berkata PKP kendiri boleh dilakukan dengan hanya duduk di rumah dan patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Orang ramai disaran melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata PKP kendiri boleh dilakukan dengan hanya duduk di rumah dan patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Perjuangan memerangi COVID-19 ini perjuangan kita semua, bukan hanya petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas barisan hadapan yang lain.
"Insya-Allah kita boleh putuskan rantaian jangkitan COVID-19," katanya dalam ciapan di akaun Twitter, pada Isnin.

Perjuangan memerangi COVID-19 ini perjuangan kita semua, bukan hanya petugas KKM & frontliners yang lain. Kesedaran & tanggungjawab sosial boleh dimulakan dgn PKP kendiri dgn duduk di rumah & patuh kepada segala SOP. InshaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19. pic.twitter.com/tMR0dyYtof

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) May 9, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Negara merekodkan kes jangkitan COVID-19 melebihi 4,000 kes dua hari berturut-turut pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Jumlah kes di unit jagaan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan alat pernafasan pula adalah sebanyak 632 kes keseluruhan.
Pada Sabtu, Dr Noor Hisham dalam sidang media pertamanya selepas lebih dua bulan berkata data menunjukkan lima hospital di Lembah Klang sudah beroperasi di luar kapasiti.
Di seluruh negara, lebih daripada 70 peratus katil ICU COVID-19 di 19 hospital awam sudah dipenuhi.
"Kami menggesa semua rakyat untuk memastikan anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana kami berada dalam kedudukan kritikal.
"Hospital awam dan hospital swasta semakin kehabisan katil ICU dan katil (kes COVID-19)," katanya lagi.
#Noor Hisham Abdullah #PKP kendiri #perintah kawalan pergerakan #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #KKM