Antara langkah penting yang perlu dilakukan bagi elak jangkitan COVID-19 adalah penjarakan sosial.

Bagaimanapun, gesaan itu dilihat tidak dipandang seius kerana masih ada yang enggan patuh.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, semua pihak harus faham mengapa penjarakan sosial penting ketika wabak COVID-19 mencetus kebimbangan ramai.

Dr Sim berkata, ada yang berpendapat mereka tahu apa yang dilakukan dan tidak mungkin mereka merisikokan diri dengan berada hampir dengan orang yang sakit.

Namun, beliau mengingatkan terdapat juga sebilangan individu yang tidak menunjukkan sebarang simptom COVID-19, tetapi berisiko menyebarkan virus ini.

"Kita laksanakan semua penjarakan sosial dengan menutup kedai-kedai, menutup sekolah pada asasnya adalah untuk mengurangkan sebaran jangkitan.

"Ini kerana orang yang menyebarkan jangkitan mungkin tidak mempunyai batuk, mungkin tidak mempunyai sesak nafas," tegas Dr Sim.

Katanya, tempoh 14 hari ini sangat penting untuk menghentikan penyebaran cepat virus ini.

Justeru kerjasama daripada setiap individu adalah mustahak untuk memastikan penjarakan sosial ini berkesan.

"Ia tidak bermaksud untuk anda pergi bersiar-siar dan mengembara.

"Untuk memastikan penjarakan sosial ini berkesan, kita memerlukan kerjasama semua orang untuk mengubah tingkah laku peribadi, tingkah laku keluarga, tingkah laku masyarakat," tegas Dr Sim menitip pesanan buat mereka yang mengambil mudah arahan ini.

Pada Selasa, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) khusus untuk Negeri Sarawak.


Ia selari dengan MCO yang dikeluarkan kerajaan pusat dan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.