Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan dua kluster terbaharu dikesan di negeri itu.

Menerusi pengumuman dibuat Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dua kluster berkenaan melibatkan kluster kapal LNG Jupiter dan kluster Pusat Perubatan Kuching.

Jelas Uggah, dengan pertambahan dua kes terbaharu yang diumumkan hari ini, jumlah keseluruhan melibatkan kluster LNG Jupiter adalah tiga kes daripada jumlah keseluruhan 30 orang krew yang disaring.

“Bagi kluster Pusat Perubatan Kuching, terdapat pertambahan satu kes yang merupakan rakan tempat kerja kepada kes-582.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan melibatkan kluster ini adalah dua kes setakat ini dan punca jangkitan masih dalam siasatan dan pengesanan kontak masih diteruskan,” kata Uggah.

BACA: COVID-19: Mungkin ada gelombang kedua di Sarawak?

Antara lain, JPBN Sarawak turut mengumumkan bahawa semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara adalah diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan dan ujian saringan COVID-19 pada hari kedua dan hari ke-10 akan diambil.

BACA: 13 kes PUI di Miri dikenal pasti sebagai pesakit SARI dan ILI

Hari ini, Sarawak turut mencatatkan 10 kes positif terbaharu antaranya melibatkan dua kluster terbaharu diumumkan ini.

Kes melibatkan dua pekerja bukan warganegara yang bekerja di atas kapal LNG Jupiter di Bintulu dan satu kes Pusat Perubatan Kuching.