COVID-19: Dua lagi warga China pulih, jumlah terkini pesakit sembuh 13

Bernama
Februari 18, 2020 22:12 MYT
Dr Noor Hisham berkongsi wajah gembira pasangan warga China yang dibenarkan keluar hospital pada Selasa bersama salah seorang doktor Malaysia. Facebook Noor Hisham Abdullah
Pasangan warga China masing-masing berusia 52 tahun dan 49 tahun yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini, dibenarkan keluar hospital petang Selasa, menjadikan jumlah terkini pesakit sembuh adalah 13.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasangan suami isteri yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru itu disahkan sembuh sepenuhnya selepas keputusan ujian COVID-19 ulangan kali kedua berturut-turut, didapati negatif.
"Kes ketujuh dimasukkan ke wad para 27 Jan, dan kesihatannya terus merosot disebabkan jangkitan teruk Hypoxia pada hari ketiga selepas dimasukkan ke wad.
"Pada hari kesembilan, pesakit menunjukkan perkembangan kesihatan yang amat baik, sehingga dia menjalani ujian dua kali berturut-turut dengan keputusan negatif COVID-19, dan hari ini dia dibenarkan pulang," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, pada Selasa.
Susulan berita gembira itu, Dr Noor Hisham berkata semua kes positif COVID-19 yang dirawat di hospital itu telah sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada awal saringan kesihatan, isteri kepada pesakit kes ketujuh itu disahkan menghidap Asymptomatic, namun simptom COVID-19 pada wanita itu dikesan pada hari kedua rawatan.
"Sampel yang diambil pada 5 Feb lepas menunjukkan negatif COVID-19, namun dia tetap berhasrat untuk tinggal di hospital sehingga suaminya dibenarkan keluar. Kita jalankan ujian sampel sekali lagi semasa suaminya sembuh, dan keputusannya tetap negatif dalam dua ujian susulan itu," tambahnya.
Pasangan itu adalah individu kes ketujuh (suami) dan kelapan (isteri) yang masing-masing disahkan positif COVID-19 pada 28 Jan dan 30 Jan lepas.

AlhamdulilLah...terkini Case no.7 & 8 discharged ptg tadi dari Hospital Permai Johor. Jumlah kes yang telah di discaj pada 18 Feb 2020 ialah 13. Number of patients remain at hospitals as of 18 Feb 2020 is 9. Tahniah Pengarah JKN Dr Aman & Pengarah & Team Hospital Permai! pic.twitter.com/8XnI22EVEA

— Dzulkefly Ahmad (@DrDzul) February 18, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada petang Selasa, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan dua kes positif virus itu iaitu kes ke-11 dan ke-12 yang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dibenarkan pulang pada Selasa.
Katanya, seramai 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Feb lalu juga dibenarkan keluar dari pusat pemantauan di Nilai, Negeri Sembilan pada Selasa, setelah tamat tempoh kuarantin 14 hari.
-- BERNAMA
#asymptomatic #coronavirus #COVID-19 #Dzulkefly Ahmad #Hospital Permai #Hypoxia #koronavirus #Noor Hisham Abdullah #rawatan #suami isteri #ujian #wad