Empat kumpulan penggiat pelancongan yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menerima sumbangan one-off daripada kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata seramai 48 penarik beca, 17 pemandu bot penambang, 99 pemandu pelancong, dan 35 malim gunung di Dungun bakal menerima imbuhan tersebut.

Menurut Ariffin, pihaknya sedia maklum dengan nasib penggiat pelancongan yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang PKP.

"Sebenarnya, kami hanya complement saja, pelengkap.

"Kerajaan pusat sudah beri, kemudian kerajaan negeri melalui MPKK pakej rangsangan ke-4 kita dah bagi sebanyak RM300,000 setiap DUN.

"Sepatutnya setiap rakyat yang terkesan termasuk pemandu teksi, pemandu bot pelancong, mereka dah dapat sedikit sebanyak," kata Ariffin.

Beliau berkata jumlah sumbangan masih dalam perbincangan dan akan diumumkan menteri besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pelancongan negeri merangka pelan rangsangan dan pelan strategik pelancongan dalam usaha meningkatkan semula sektor ini yang menunjukkan perkembangan positif sejak dua tahun lalu.

Usaha itu penting bagi menangani impak COVID-19 terhadap bidang pelancongan dan memacu pertumbuhan industri pelancongan Terengganu.