KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan enam kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Angka korban terbaharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan kini 35,526 orang, daripada 4.4 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, empat daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Sementara itu, terdapat 58,436 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 56,776 individu atau 97.2 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 61 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 1,501 kes dirawat di hospital dan 98 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 35 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 63 lagi memerlukan mesin ventilator.