KUALA LUMPUR:Sarawak hari ini melaporkan pertambahan enam kluster baharu menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu meningkat kepada 21.

Enam kluster tersebut melibatkan Kluster Geronggang dan Kluster Mas Merah di Sibu; Kluster Univista di Samarahan; Kluster Kampong Sungai Maong di Kuching; Kluster Gelong di Kapit dan Kluster Kidurong Dua di Bintulu.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa, dua daripada enam kluster baharu iaitu Kluster Geronggang dan Kluster Univista di Samarahan melaporkan pertambahan kes tertinggi.

“Kluster Geronggang melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas yang terletak di Jalan Geronggang dan kes indeks merupakan kes 6,072 melibatkan seorang warga emas berusia 77 tahun.

“Dia disahkan positif COVID-19 pada 10 Februari 2021 menerusi saringan individu bergejala dan hasil pengesanan kes secara aktif 41 kes positif (termasuk kes indeks dilaporkan).

“Kluster ini juga telah melaporkan satu kes kematian namun punca kematian masih disiasat sementara 40 kes lain kini sudah dimasukkan ke Hospital Sibu,” kata kenyataan itu.

Bagi Kluster Univista di Samarahan pula, ia melibatkan tiga lokaliti di daerah tersebut termasuk Kampung Muara Tuang, Taman Univista dan Taman Samarax.

Kes indeks kluster ini merupakan kes 6,295 yang merupakan warga tempatan berusia 33 tahun yang dikesan menerusi saringan individu bergejala pada 6 Februari 2021.

“Hasil pengesanan kontak kepada kes indeks ini dan aktiviti pengesanan kes secara aktif di tiga lokaliti tersebut, 45 kes positif telah dikesan termasuk kes indeks.

“19 kes baharu dilaporkan pada hari ini dan setakat 16 Februari, 184 individu telah disaring dimana 96 individu disahkan negatif manakala 43 individu masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambah kenyataan itu.

Antara lain, 193 kes positif dikesan di Sarawak dengan Sibu kekal menyumbang kes tertinggi dengan 105 kes dan angka ini menjadikan jumlah kes positif di negeri itu meningkat kepada 7,025.

Satu kes kematian di Hospital Sibu juga dilaporkan melibatkan kes 4,004 yang berusia 83 tahun dan disahkan positif COVID-19 pada 25 Januari 2021 dan meninggal dunia pada 15 Februari 2021.