SURUHANJAYA Eropah meluluskan Pelan Pemulihan dan Ketahanan Nasional (NRRP) Itali dengan peruntukan dana 191.5 bilion euro.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menyerahkan kad skor simbolik kepada Perdana Menteri Itali, Mario Draghi sebagai tanda persetujuan program pasca-COVID yang disediakan kerajaan Itali untuk ditaja oleh Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Draghi, ansuran pertama 24.89 bilion euro akan dimanfaatkan sepenuhnya.

"Ini baru permulaan.

"Cabaran paling penting sekarang adalah pelaksanaan pelan (Pelan Pemulihan dan Ketahanan Nasional Itali), untuk memastikan dana daripada ansuran pertama 24.89 bilion euro, wang yang dulunya merupakan jumlah keseluruhan belanjawan kewangan bagi satu tahun untuk negara kita, akan dibelanjakan dengan baik dan sepenuhnya.

"Bagi saya, dibelanjakan dengan baik bermaksud, ia digunakan dengan cekap, berkesan dan jujur," katanya di Rom pada Selasa.

Persetujuan EU mengenai pelan itu akan membantu melancarkan semula ekonomi Itali selepas pandemik.

Ini sebahagian langkah penting mengagihkan dana untuk pelan reformasi dan pelaburan Itali yang luas.

Sementara itu, von der Leyen berkata, dana dapat dikeluarkan dalam masa empat minggu iaitu selepas Majlis Eropah bersetuju meluluskan pelan tersebut.