KUALA LUMPUR: Kumpulan Genting Malaysia Bhd dilapor akan melakukan satu lagi pusingan pemotongan gaji sebagai langkah mengurangkan kos ekoran kesan pandemik COVID-19 yang berpanjangan di negara ini.

Agensi Bloomberg melaporkan unit di bawah konglomerat Genting Bhd itu akan meminta pekerjanya melakukan potongan gaji sementara di antara 15 dan 20 peratus daripada gaji pokok mengikut pangkat.

Menurut memo dalaman yang diperoleh Bloomberg, sesetengah pekerja juga diminta mengambil cuti tanpa gaji selama satu minggu.

“Potongan ini akan berkuat kuasa sehingga Mei.

"Kepimpinan kanan secara sukarela bersetuju untuk dikurangkan gaji sehingga 20 peratus," tulis kenyataan itu lagi.

Ini merupakan pemotongan gaji kali kedua oleh kumpulan Genting Bhd sejak bermulanya pandemik di negara ini.

Pada April lepas, kumpulan berkenaan telah mengumumkan pemotongan gaji buat pertama kali sejak penubuhannya pada 1965, selepas pandemik memberi kesan kepada kasino, kapal pelayaran dan resort.