COVID-19: Hampir 83 juta kes positif dicatat penghujung 2020

Astro Awani
Disember 30, 2020 23:30 MYT
Indonesia antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 bagi kes positif COVID-19. - Gambar hiasan
JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 82.47 juta berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 19.67 juta kes.
Ini diikuti India dengan 10.24 juta kes dan Brazil dengan 7.5 juta kes sementara Rusia kini melangkaui 3 juta kes.
Manakala negara yang melepasi angka 2 juta kes adalah Perancis, United Kingdom, Turki dan Itali.
Sepanyol, Jerman, Colombia, Argentina, Mexico, Poland, Iran, Ukraine, Afrika Selatan dan Peru pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.
Manakala Belanda, Indonesia, Belgium, Romania, Chile, Iraq, Kanada dan Bangladesh, pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.
Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 400,000 kes termasuk Pakistan, Filipina, Switzerland, Maghribi, Israel, Portugal, Sweeden, Arab Saudi, Austria, Serbia dan Hungary.
Sebanyak 37 negara lain merekodkan angka positif antara 100,000 dan 300,000 kes termasuk Malaysia.
Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 1.79 juta.
Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 341,000 kes diikuti Brazil, India dan Mexico yang merekodkan lebih 100,000 kes kematian.
Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Itali, United Kingdom, Perancis, Rusia Iran dan Sepanyol.
Manakala negara yang merekodkan antara 30,000 dan 50,000 kes kematian adalah Argentina, Colombia, Peru dan Jerman.
Afrika Selatan, Poland, Indonesia dan Turki pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.
Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.
#Johns Hopkins University #COVID-19 #jumlah kematian #angka korban #kes positif #kematian dunia #kes positif COVID19 dunia