Hanya dua daripada keseluruhan sembilan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyaksikan pertambahan kes positif sehingga pukul 12 tengah hari, Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, dua kawasan itu adalah Selangor Mansion dengan pertambahan 22 kes positif dan Kampung Sungai Lui, 10 kes.

Sementara lain-lain kawasan PKPD katanya, kekal dengan tiada pertambahan kes baharu.

"Cuma Selangor Mansion ada pertambahan 22 kes yang menjadikan jumlah kes 107 dengan Kampung Sungai Lui, 10 lagi kes yang merekodkan jumlah kumulatif 141 kes setakat hari ini," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Noor Hisham menjelaskan kluster Pengerang di Johor bukanlah kluster baharu.

Sebaliknya kata beliau, kluster itu dikenal pasti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan lagi.

"Apa yang penting kluster di Pengerang terkawal dan tidak merekodkan pertambahan kes berlaku.

"Kita akan terus memantau untuk tempoh dua minggu sebelum boleh katakan kawasan itu (Pengerang) sebagai zon hijau," ujarnya.