NEW DELHI:India merekodkan pertambahan kes harian COVID-19 terendah dalam tempoh empat bulan pada Selasa.

Ia selepas negara dengan populasi penduduk kedua terbesar di dunia itu merekodkan sebanyak 46,790 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan India, negara itu melihat terdapat trend penurunan berbanding lonjakan kes yang dilaporkan pada September lalu.

Kes yang direkodkan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di India meningkat kepada hampir 7.6 juta, kedua tertinggi di belakang Amerika Syarikat.

Sementara itu, India melaporkan 587 lagi kematian, menjadikan jumlah korban bertambah kepada 115,197.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa jangkitan di negara itu dijangka meningkat semula ketika musim perayaan Deepavali tidak lama lagi.