COVID-19: Jabatan Kesihatan laksana khidmat 'outsourcing' atasi kesesakan pesakit

Hafizi Rosli
Julai 25, 2021 02:44 MYT
Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan langkah-langkah kesiapsiagaan menghadapi lonjakan kes terutama bagi pesakit kategori 3 dan ke atas susulan kenaikan kes saban hari. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menjalankan langkah-langkah kesiapsiagaan menghadapi lonjakan kes terutama bagi pesakit kategori 3 dan ke atas susulan kenaikan kes saban hari.
Ia termasuk pelaksanaan perkhidmatan secara penyumberluaran (outsourcing) sebahagian perkhidmatan klinikal kepada hospital swasta bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit dan memastikan pesakit dapat rawatan sewajarnya terutama kepada pesakit bukan COVID-19.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, Jabatan Kesihatan akan memantau pelaksanaan penyumberluaran ini mengikut tatacara yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia termasuk kriteria pemilihan pesakit dan hospital swasta yang terlibat.
Jelasnya, setiap hospital juga mengoptimumkan penggunaan fasiliti sedia ada seperti dewan bedah, klinik dan wad bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.
Penggunaan khemah tambahan sebagai wad sementara juga dilaksanakan di kebanyakan Jabatan Kecemasan di negeri itu.
Antara hospital yang sudah menggerakkan usaha ini termasuk Hospital Serdang, yang berjaya menambah 81 buah katil tambahan untuk pesakit di Jabatan Kecemasan.
Sumber Facebook kementeriankesihatanmalaysia
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #Selangor #pesakit #Hospital #sesak