COVID-19: Jangan risikokan pelajar, kata Dr Noraini kepada pengurusan IPT

Firdaus Azil
Mac 17, 2020 10:21 MYT
Arahan penutupan kampus tergesa-gesa itu akan mengakibatkan risiko kepada pelajar, kata Dr Noraini Ahmad.
Semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta diminta menyediakan penempatan sementara untuk pelajar yang menghadapi kekangan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kementerian juga meminta pihak pengurusan kedua-dua IPT berkenaan untuk memastikan pelajar mendapat akses makanan melalui kafeteria masing-masing.
“Kita maklum dengan arahan larangan pergerakan dan pekeliling pentadbiran yang dikeluarkan beberapa universiti awam untuk mahasiswa mengosongkan kampus.
“Namun, tindakan pulang tergesa-gesa dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan, dan mahasiswa akan lebih terdedah kepada wabak jika tidak melalui pemantauan pemantauan yang rapi,” kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi.
BACA: Ucapan penuh: Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai COVID-19
Dalam perutusan khas mengenai wabak COVID-19 semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, antara lain, mengenai penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta.
Arahan itu termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.
Muhyiddin berkata, ia selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan Akta Polis 1967.
Susulan pengumuman itu, beberapa IPT telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan pembelajaran, serta menutup kampus sedia ada, sekaligus menyebabkan pelajar tiada pilihan melainkan menaiki pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

?... Students were asked to vacant their dorm, a challenge for outstation underprivileged students. pic.twitter.com/5IIig9hPOd

— mohddanial (@mohddanial100) March 17, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu, Noraini berkata, para pelajar diminta untuk terus peka dengan arahan semasa yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa.
“InshaAllah, Kita akan bersama-sama berjaya menangani wabak ini,” katanya lagi.
#coronavirus #COVID-19 #Dr Noraini Ahmad #Kementerian Pengajian Tinggi #koronavirus #Majlis Keselamatan Negara #Menteri Pengajian Tinggi #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #perintah kawalan pergerakan