KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kes harian pada Selasa meningkat kepada 13,944 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 2,939,198 kes.

Jelasnya daripada jumlah keseluruhan kes baharu itu, sebanyak 13,791 merupakan kes tempatan manakala 153 kes import.

Tambahnya, sebanyak 13,871 kes bersamaan 99.48 peratus merupakan pesakit kategori satu dan dua, manakala 73 kes bersamaan 0.52 peratus merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Kes sembuh pula sebanyak 5,421 kes dicatatkan bersamaan 96.1 peratus.

Sejumlah 138 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), 71 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tambah Dr Noor Hisham, pihaknya turut mengesan 17 kluster baharu pada Selasa menjadikan jumlah kluster aktif meningkat kepada 357 kluster ketika ini.

Maklumat terperinci dimuat naik ke laman COVIDNOW.