Kabinet memutuskan untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Kabinet bagi membincangkan perkara berkaitan keseimbangan keselamatan rakyat dan ekonomi negara ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut akan dipengerusikannya dan Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kerajaan menyedari keluh kesah masyarakat peniaga yang terjejas susulan penutupan premis sepanjang pelaksanaan PKP yang sudah memasuki fasa kedua berkuat kuasa sejak Selasa.

“Kami ingin pastikan COVID-19 dapat dihapuskan supaya rakyat terselamat daripada wabak ini.


“Bagaimanapun, kerajaan melihat perlu ada keseimbangan antara kepentingan kesihatan dan keselamatan serta ekonomi untuk individu, syarikat dan negara,” katanya dalam sidang media pada Khamis.


Kerajaan berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas berkenaan akan membincangkan hala tuju ke hadapan dan selepas tempoh PKP, bagi mengimbangi keperluan menjaga kesihatan dan keselamatan negara dengan kepentingan ekonomi.

“Bagaimanapun, seperti saya sebutkan, keutamaan kami adalah keselamatan dan kesihatan rakyat," tambahnya.