NEW JERSEY: Johnson & Johnson (J&J) mula edar 4 juta dos vaksin keluarannya.

Vaksin keluaran syarikat itu ialah yang ketiga diluluskan untuk kegunaan kecemasan di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Saintifik J&J, Dr Paul Stoffels berkata vaksin keluaran syarikat itu lebih mudah diberikan dan boleh diedarkan secara meluas ke seluruh dunia.

"Kami memang sengaja pilih satu dos. Ia mudah untuk diberikan.

"Ia mempunyai suhu penyimpanan yang mudah. Ia boleh diedarkan dalam skala yang besar.

"Apabila aktiviti pembuatan vaksin ini capai tahap penuh, ia akan boleh diedarkan ke serata dunia dan hentikan penularan COVID-19 pada peringkat dunia," kata Dr Stoffels.

Pentadbiran Perubatan dan Makanan Amerika (FDA) meluluskan penggunaan vaksin J&J pada Sabtu.

Satu dos vaksin ini dilaporkan 85 peratus berkesan melidungi COVID-19 pada peringkat teruk.

Ia berdasarkan data yang didapati daripada kajian yang dilakukan di tiga benua.

J&J sedang mendapatkan kelulusan penggunaan vaksin tersebut untuk tujuan kecemasan di Eropah daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia menyasarkan untuk menghasilkan 1 bilion dos pada akhir tahun ini.

J&J turut dilapor menguji tahap keberkesanan dua dos dalam kajian yang berasingan.