PUTRAJAYA: Jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 untuk kedua-dua dos pertama dan dos kedua mencecah 7,226,949 setakat Sabtu.

Melalui perkongsian grafik terbaharu di Twitter Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, jumlah penerima vaksin dos pertama ialah seramai 5,204,993 orang manakala dos kedua, 2,021,956 orang.

Bagaimanapun, jumlah pemberian vaksin dalam tempoh 24 jam lepas menurun sedikit, iaitu sebanyak 187,877 dos, berbanding 215,968 hari sebelumnya.


Berdasarkan paparan grafik yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) itu, Sarawak paling tinggi dengan 919,990 penerima dos pertama dan 212,979 penerima dos kedua.

Ia diikuti Kuala Lumpur dengan 908,820 penerima dos pertama, 170,621 penerima dos kedua dan Selangor dengan 826,502 penerima dos pertama, 268,730 penerima dos kedua.

Johor pula mencatatkan 426,842 penerima dos pertama dan 211,797 penerima dos kedua, manakala Sabah merekodkan 369,047 penerima dos pertama dan 167,017 penerima dos kedua.