KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semakin menghampiri nilai 1, pada Ahad.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dua minggu lalu angka tersebut telah melepasi nilai 1.

"Kita semua telah memainkan peranan untuk menurunkan balik nilai kadar kebolehjangkitan.

"Yakin kita boleh. Pelitup muka, penjarakan fizikal, elak sesak, dos penggalak, jaga ibu bapa dan amalkan TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera)," ciap beliau pada Isnin.


Menurut data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kadar kebolehjangkitan menunjukkan trend peningkatan selama empat hari.

Pada Ahad, nilai itu berada pada paras 0.98, meningkat 0.03 daripada empat hari sebelumnya.

Secara keseluruhan, sebanyak sembilan negeri/wilayah mencatatkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan.

Negeri/wilayah itu ialah Perlis (1.12) , Melaka (1.04), Perak (1.01), Kedah (1.00), Selangor (0.99), Pulau Pinang (0.99), Kuala Lumpur (0.99), Labuan (0.99) dan Pahang (0.98).

Negeri/wilayah lain yang mencatatkan nilai Rt di bawah purata kebangsaan adalah Johor (0.97), Terengganu (0.96), Kelantan (0.95), Sabah (0.93), Putrajaya (0.93), Negeri Sembilan (0.93) dan Sarawak (0.72).