COVID-19: Kampung Budaya Terengganu ditutup sementara

Bernama
Oktober 5, 2020 09:11 MYT
Penutupan Kampung Budaya Terengganu bermula hari ini sehingga 31 Oktober selaras dengan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. - Gambar pembaca Astro AWANI, NADIA SAIFUL
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menutup sementara Kampung Budaya Terengganu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, penutupan tersebut bermula hari ini sehingga 31 Oktober selaras dengan pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Arahan penutupan melibatkan keseluruhan operasi serta pengisian program dan aktiviti di Kampung Budaya Terengganu kecuali kakitangan dalam perkhidmatan perlu seperti keselamatan dan penyelenggaraan yang tertakluk kepada kelulusan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu," demikian menurut kenyataan tersebut.
Kampung Budaya Terengganu yang diadakan sekitar Kompleks Muzium Negeri itu telah bermula pada 3 September lepas dan menurut jabatan berkenaan sepanjang beroperasi, pihak pengurusan sentiasa memastikan kakitangan dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Lokasi tarikan baharu pelancong yang berkonsepkan muzium hidup itu, menjadi pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh daerah di Terengganu. - BERNAMA
#Kampung Budaya Terengganu #ditutup #COVID19 #Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu #Majlis Keselamatan Negara #Kompleks Muzium Negeri