KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memberi fokus kepada pengendalian sisa pembuangan terjadual serta pelupusan khas sistematik pengurusan sisa klinikal sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP 3.0.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Masrizal Muhammad menjelaskan, ia jelas seperti dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setakat ini, pembuangan sisa klinikal seperti bahan plastik pakai buang, sarung tangan getah dan gaun isolasi yang digunakan petugas barisan hadapan di semua fasiliti kesihatan meningkat sebanyak 111.94 peratus berbanding kuantiti dijana pada Disember 2019 sebelum pandemik ini berlaku.

"Sekiranya pandemik ini berterusan, sisa buangan klinikal akan terus meningkat sehingga 173.25 MT/sebulan dalam tempoh 12 bulan mendatang.

"Hal ini boleh dianggap sebagai suatu angka signifikan yang boleh mengancam kehijauan bumi dan menggugat kelestarian alam sekiranya tidak berjaya diuruskan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA: Sisa klinikal negara meningkat 20 peratus sejak COVID-19 melanda

BACA: 
Pengurusan sisa klinikal COVID-19 jadi keutamaan paling penting

Terdahulu, Dr Masrizal menyampaikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan di PKPD Batu Sentul.

Dalam pada itu jelasnya, KASA melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi-agensi lain yang berkaitan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasi kekangan kecekapan pelupusan ini namun masih lagi mempunyai tangguhan (backlog) sisa buangan klinikal.

"Setakat ini, sebanyak 12 insinerator, empat microwave dan satu ozonator yang dilesenkan di seluruh negara untuk menguruskan buangan terjadual SW 404 ini dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 5,168.05 tan metrik.

"Nilai ini masih mampu untuk menampung penjanaan sisa klinikal semasa iaitu 4394.37 tan metrik.

"Oleh itu, kami juga mengalu-alukan mana-mana fasiliti kesihatan swasta yang berhasrat untuk menguruskan sisa klinikal di Malaysia untuk berhubung dengan KASA atau terus kepada JAS untuk membincangkan kaedah terbaik untuk manfaat semua pihak," ujarnya.

Tambahnya, sisa itu akan terus meningkat sekiranya lebih ramai rakyat di negara ini dijangkiti pandemik.

"Sehingga ke hari ini, waktu operasi dan kapasiti pelupusan di loji-loji pelupusan bahan klinikal juga turut dilanjutkan dan dipertingkat bagi memastikan peningkatan jumlah sisa klinikal tadi dapat dilupuskan dengan kadar segera.

"KASA juga menyedari peningkatan sisa bahan buangan di kawasan-kawasan yang sudah dikenakan PKPD, di mana kes positif COVID-19 yang direkodkan adalah tinggi.

"Kawasan ini memerlukan pengurusan sisa buangan yang lebih rapi dan tersusun bagi mengelakkan jangkitan sekunder kepada pekerja yang menguruskan sisa buangan tersebut," katanya.