KUALA LUMPUR :Kebimbangkan Kementerian Kesihatan (KKM) kini tertumpu kepada penularan COVID-19 di negeri-negeri Lembah Klang.

Namun menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, langkah proaktif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lebih awal berjaya menurunkan kadar jangkitan di Lembah Klang.


 
“Kalau kita lihat kepada kes COVID-19 harian dan ramalan seluruh negara bermula 1 Oktober sehingga 14 November, kadar jangkitan atau R-Naught kita bermula pada 2.2 dan sekarang ini sudah berjaya mencatatkan penurunan kepada kurang daripada 1.

“Ini adalah petanda baik untuk kita dan kita harap dapat pertingkat dan kukuhkan lagi aktiviti di lapangan khususnya di Sabah kerana kes harian semakin berkurangan terutamanya selepas pelaksanaan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) .

“Kita harap dalam tempoh seminggu atau dua ini kita dapat mengawal keadaan dan penularan jangkitan di Sabah dan kebimbangan kini di semenanjung Malaysia,” jelasnya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya pada Rabu.

BACA: COVID-19: 822 kes baharu, 2 kematian direkodkan hari ini

Jelasnya lagi, kadar jangkitan mungkin lebih teruk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya jika PKPB dilaksanakan lebih lambat.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat dua faktor yang memungkinkan peningkatan kes COVID-19 sehingga menyebabkan sesebuah daerah daripada zon hijau kepada zon merah.


“Dua faktor tersebut adalah pertama masih ada pergerakan dari satu negeri ke negeri lain, dari satu daerah ke daerah lain.

“Kedua kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tahap kepatuhan kepada SOP dan penularan jangkitan ini dapat dibendung dengan baik jika kepatuhan pada tahap 100 peratus.

“Jika kita semua patuh kepada SOP tidak perlu pelaksanaan PKP atau PKPB. Ketika ini kita perlu pastikan kita boleh kawal rentas negeri dan daerah, elakkan perhimpunan dan sentiasa patuh kepada SOP,” ujarnya.