KUALA LUMPUR:Tindakan aktif dan agresif petugas barisan hadapan di lapangan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 menjadi faktor peningkatan trend jumlah kes harian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend jumlah dan pecahan kes baharu positif COVID-19 hari ini adalah hampir sama seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini.

Perkembangan ini adalah kerana masih berlaku peningkatan kes di Kluster Tembok, Kedah yang mencatat 97 kes dan juga kes-kes di negeri Sabah yang mencatat 155 kes.

"Antara tindakan yang telah dijalankan termasuk Pengesanan Kontak Rapat (ACD) bagi kes-kes positif COVID-19; Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar bermula pada 11 September 2020 dan tamat pada 25 September 2020, di mana seramai 18,701 orang telah disaring, meliputi 18,614 penduduk warganegara Malaysia dan 87 orang bukan warganegara.

"Daripada aktiviti tersebut, sejumlah 44 orang telah dikesan positif; iaitu 43 orang warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara. Manakala sebanyak 18,657 lagi adalah negatif COVID-19; 18,571 warganegara dan 86 bukan warganegara.

"Saringan Bersasar di empat daerah Perintah Kawalan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Sabah; saringan bagi pengunjung dari Sabah di setiap pintu masuk (antarabangsa dan domestik) iaitu sejumlah 13,032 individu telah disaring dan 176 kes telah dikesan COVID-19," katanya.

Selain itu, pihaknya juga telah membuat saringan ke atas kumpulan berisiko tinggi, di mana antara saringan dijalankan termasuk terhadap warga emas di rumah jagaan, saringan tahanan imigresen dan saringan petugas kesihatan.

Pihaknya pada masa sama turut melakukan aktiviti survelan melalui pemantauan kes-kes Influenza-Like Illness (ILI), Severe Acute Respiratory Illness (SARI), saringan pra pembedahan dan lainlain aktiviti survelan di lapangan.

BACA: COVID-19: 317 kes baharu, tertinggi dicatatkan di Malaysia

BACA: 
COVID-19: Tiga kluster baharu, dua kes indeks rekod sejarah perjalanan ke Sabah

BACA: 
COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)