Data dan fakta yang dikumpul Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan rakyat Malaysia mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam usaha mengelakkan penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika kepatuhan itu berterusan, kementerian menjangkakan bahawa jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat dapat dikurangkan.

“Tetapi sekarang ini yang kita tengah fokus adalah kepatuhan dalam kalangan bukan warganegara.

“Kalau kita lihat trend begitu, setakat ini contohnya dah lapan hari kita meraikan hari raya Aildilfitri dan tiada peningkatan kes. Ini menunjukkan kepatuhan kepada SOP (prosedur operasi standard) dan kita jangkakan mungkin tidak ada peningkatan kes mendadak selepas hari raya,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Serentak dengan itu, beliau berkata, kemungkinan kelonggaran akan diberikan kepada banyak lagi sektor yang melibatkan warganegara untuk kembali beroperasi.

“Jadi, kalau kita dapat data begitu, kita mungkin memberi kelonggaran kepada sektor melibatkan rakyat Malaysia, salah satunya adalah pendaftaran,” katanya.