KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 mencatatkan penurunan di bawah 6,000 apabila negara mencatat 5,899 kes semalam berbanding 6,968 kes pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 5,899 kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam, hanya 23 kes atau 0.39 peratus dalam Kategori 3, 4 dan 5.

"Daripada jumlah keseluruhan 5,899 kes positif COVID-19 yang dicatatkan pada 21 April, sebanyak 5,876 kes atau 99.61 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2.

"Lapan kes atau 0.14 peratus dalam Kategori 3, 10 kes (0.17 peratus) dalam kategori 4 dan lima kes (0.08 peratus) dalam Kategori 5," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes sembuh COVID-19 yang dicatatkan semalam adalah 8,434 kes, lebih tinggi daripada kes positif baharu yang direkodkan.

Beliau berkata satu kluster baharu COVID-19 dilaporkan semalam manakala kadar kebolehjangkitan Rt yang dicatatkan di seluruh negara ialah 0.81 dengan tiada negeri yang mencatatkan Rt melebihi 1.0.

Bagi penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU), tidak ada negeri yang mencatatkan kadar penggunaan melebihi 50 peratus semalam.

Dr Noor Hisham berkata kes COVID-19 yang memerlukan rawatan di ICU semalam adalah 92 orang dan 61 kes memerlukan bantuan pernafasan.

-- BERNAMA