KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu melepasi angka 5,000 dengan 5,439 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 2,850,408 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham juga menjelaskan sebanyak 4,409 kes sembuh dilaporkan pada Khamis menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 2,770,663 kes.

"Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 124 kes dengan 70 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan harian mengenai COVID-19.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan 12 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,930 orang, daripada 2.82 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, dua daripada 12 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.