KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 di negara ini dijangka turun kepada satu angka sehari dalam masa empat hingga enam minggu lagi.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, jangkaan tersebut berdasarkan penurunan kes 300 hingga 400 kes aktif setiap hari.

“Saya menjangkakan kita memerlukan lebih kurang empat atau enam minggu lagi untuk kes menjadi dua digit atau satu digit, sekiranya kita meneruskan komitmen (untuk memerangi COVID-19) seperti sekarang.

“Oleh itu, kalau dilihatkan pada pola tersebut, kita masih perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Biarpun program vaksin telah dilaksanakan, komitmen perlu diteruskan,” katanya dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Sabtu.



COVID-19 | 11 daerah kembali hijau

Mengulas berhubung kebenaran pergerakan rentas negeri pula, beliau berkata sekatan rentas negeri perlu terus berkuat kuasa sehingga selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Kebenaran untuk pergerakan rentas negeri tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa dalam tempoh terdekat, mahupun dalam bulan Ramadan.

“Saya berpendapat lebih baik jika ia ditangguhkan selepas Hari Raya Aidilfitri kerana kami melihat cabaran pada gelombang ketiga baru-baru ini dan kami berharap keadaan itu tidak berulang.

“Jadi, mungkin seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri merupakan masa yang wajar (untuk membenarkan pergerakan rentas negeri), jika melihat kepada pola sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan larangan rentas negeri masih kekal sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpuas hati dengan penurunan kes COVID-19.