KUALA LUMPUR : Angka kes baharu COVID-19 kekal menurun hari ini apabila sebanyak 8,075 kes dilaporkan bagi tempoh 24 jam.

Jumlah itu membawa kepada jumlah keseluruhan kes sejak pandemik kini sebanyak 2,285,640 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sarawak masih kekal dangan catatan kes harian tertinggi dengan sebanyak 1,189 kes diikuti Kelantan yang turut melaporkan kes empat angka iaitu sebanyak 1,020 kes.


Menurut data COVIDNOW, setakat semalam, kadar kematian adalah sebanyak 118 kes termasuk 27 kes Brought In Dead (BID) menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 26,683 kes. 

Setakat ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) sedang menempatkan seramai 867 pesakit dan daripada jumlah itu juga, 461 kes memerlukan rawatan pernafasan. 

Manakala jumlah kes sembuh hari ini dilaporkan sebanyak 15,456 kes dengan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 2,116,021 kes. 

Secara keseluruhan, sebahagian besar kes yang dilaporkan hari ini hanya melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu sebanyak 98.0 peratus atau bersamaan 7,915 kes. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini turut melaporkan pertambahan sebanyak 15 lagi kluster baharu.