COVID-19: Kes positif hampir cecah 117 juta, kes kematian 2.6 juta

Madiha Abdullah
Mac 7, 2021 21:32 MYT
Seorang pesakit COVID-19 sedang dirawat di unit ICU, Hospital Providence Mission di Amerika Syarikat. - REUTERS
JUMLAH keseluruhan penularan jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini menghampiri angka 117 juta.
Data Johns Hopkins University menunjukkan angka kes positif kini meningkat kepada 116.7 juta, dengan Amerika Syarikat kekal negara paling terjejas dengan lebih 28.9 juta kes.
Angka itu diikuti India sebanyak 11.2 juta kes, manakala Brazil dengan 10.9 juta kes.
Russia dan United Kingdom pula masing-masing mencatatkan kes melebihi empat juta manakala Perancis, Sepanyol dan Itali melebihi tiga juta kes.
Sementara itu, kes kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia kini menghampiri angka 2.6 juta kes.
Data menunjukkan Amerika Syarikat negara tertinggi mencatatkan kes kematian iaitu 524,794, diikuti Brazil dengan lebih 264,325 kes, manakala Mexico dan India masing-masing dengan 190,357 dan 157,756 kes.
Turut mencatat angka korban tinggi ialah United Kingdom dan Itali, masing-masing dengan 124,654 dan 99,785 kematian.
#COVID-19 #Johns Hopkins University #kes positif #angka korban #Amerika Syarikat #India #Brazil #Mexico #United Kingdom #Itali #Russia