KUALA LUMPUR:Seperti semalam, Malaysia hari ini mencatatkan perkembangan positif apabila jumlah kes sembuh dari COVID-19 lebih tinggi berbanding kes baharu, iaitu sebanyak 4,521 kes.

Ini menjadikan jumlah sembuh secara keseluruhan adalah sebanyak 218,335 kes.

Sebanyak 2,176 kes baharu pula dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini ialah 266,445 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu termasuk satu kes bukan warganegara.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ketika ini pula adalah 47,135 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Namun begitu, angka kematian kembali meningkat hari ini, iaitu 10 kematian berbanding tujuh kematian pada Ahad.

Selangor masih mencatat angka kes baharu tertinggi dengan 910 kes diikuti Johor dan Sarawak, masing-masing sebanyak 269 dan 246 kes.

Sebanyak 13 kluster baharu turut dikesan membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Melaka dan Terengganu.

Daripada jumlah itu, 10 adalah kluster tempat kerja.