KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pihaknya menerusi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan kewujudan varian baharu di negara ini iaitu South African B.1.351 menerusi empat kes penularan tempatan positif COVID-19.

Beliau menjelaskan varian South African B.1.351 itu pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember tahun lepas di dua negara iaitu United Kingdom dan Afrika Selatan.

Dr Noor Hisham memaklumkan, di Malaysia varian itu mula dikenal pasti pada Mac lalu dan ia mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.

"Dua kes dipercayai dari Kluster Jalan Lima yang membabitkan pekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Bagaimanapun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada pekerja kes berkenaan sukar untuk dikenal pasti dan disahkan. Selain itu satu kes dikesan dalam Kluster Kebun Baru serta satu kes lagi adalah ahli keluarga kepada kes positif COVID-19 yang tinggal serumah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, susulan daripada penemuan pertama varian B.1.351 tersebut, lebih banyak ujian jujukan genom telah dijalankan dengan menggunakan sampel positif COVID-19 dari lokasi geografi termasuk daerah Kuala Langat dan daerah Sepang.

BACA: COVID-19: 1,178 kes positif baharu, Sarawak catat jumlah tertinggi

Hasil dari ujian yang dijalankan menunjukkan bahawa terdapat lima kes lagi dikesan dari lokaliti ini yang telah dijangkiti dengan varian tersebut. Empat kes adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes adalah daripada Kluster Jalan Lima.

"Varian B.1.351 didapati mempunyai pelbagai mutasi “spike protein”, termasuk L18F, D80A, D614G, D215G, A701V, K417N, E484K, N501Y and L241_A243del. Walau bagaimanapun, varian ini tidak mempunyai mutasi H69_V70del seperti yang terdapat pada varian UK B.1.1.7.

"Analisa jujukan genom juga menunjukkan kebarangkalian asal-usul jangkitan daripada kes positif COVID-19 melibatkan pekerja di salah sebuah syarikat berpengkalan di KLIA berdekatan dengan kawasan Sepang diikuti penularan jangkitan ke kawasan penduduk tempatan di daerah Kuala Langat," katanya lagi.

Oleh itu jelas beliau, sehingga 31 Mac 2020, sejumlah sembilan kes positif COVID-19 telah dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 daripada jangkitan tempatan di Malaysia.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini, analisis filogenetik serta hubungkait geografi menunjukkan kebarangkalian kes-kes tersebut adalah daripada punca jangkitan yang sama.

Beliau juga menjelaskan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang serta pihak IMR akan terus melakukan turutan jujukan genom penuh virus dari sampel klinikal untuk memantau kehadiran varian ini dan juga varian lain.

Katanya, sejak awal Januari 2021 hingga hujung Mac 2021, sejumlah 117 jujukan genom penuh SARS-CoV-2 telah diperolehi bagi pelbagai mutasi COVID-19.

"Manakala untuk sepanjang tahun 2020, sebanyak 144 jujukan genom telah dimuat naik di sistem pengkalan maklumat iaitu di laman GISAID. Tindakan ini akan terus dilaksanakan secara aktif.

Dr Noor Hisham menjelaskan, KKM akan terus berwaspada dan melaksanakan pelbagai langkah kesihatan awam untuk mencegah berlakunya limpahan varian baru ke Malaysia.