KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Rawa Akasia, Kluster Jalan Perindustrian dan Kluster Rantau Semarak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada tiga kluster itu, dua kluster membabitkan tempat kerja di Pulau Pinang dan Johor, manakala satu lagi kluster melibatkan daerah Maran, Pahang dan Gombak, Selangor.

"Dengan pertambahan tiga kluster baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster setakat hari ini adalah sebanyak 514 kluster.

"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 290 kluster termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit Dalam, Kluster Chengal, Kluster Penjara Reman dan Kluster Avenue," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 224 kluster masih dikategorikan aktif dan dalam pemantauan KKM.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Metropolis (153 kes), Kluster Rawa Akasia (110 kes) dan Kluster Tapak Bina Residen (91 kes)," jelasnya.