KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan tindakan dinamik dalam mendepani pelbagai kemungkinan melibatkan wabak COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata tindakan dinamik itu turut diaplikasi dalam strategi Saringan COVID-19 Kebangsaan susulan kemunculan varian baharu, Omicron.

"Oleh sebab itu kita katakan, cara kita tangani COVID-19 ini adalah secara dinamik, bermakna dari semasa ke semasa.

"KKM akan memikirkan secara mendalam, apakah tindakan mendalam yang patut dibuat pada satu ketika.

"Contohnya, apabila kita dapat dengar varian Omicron yang telah ada di 43 negara ketika ini, terdapat lapan negara yang telah kita adakan sekatan sementara terutama negara-negara di Afrika Selatan.

"Terdapat lima buah negara yang telah ada kes-kes Omicron dalam komuniti, maka ada ada sekatan-sekatannya," katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Negara sebagai menjawab soalan Senator Lim Hui Ying yang ingin tahu pendekatan yang dilakukan KKM dalam mengekang penularan varian terbaharu COVID-19, Omicron.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, pelbagai langkah telah dilakukan terutama pelaksanaan strategi pengujian yang lebih mendalam.

"Ketika ini, sebelum berangkat ke luar negara, dalam tempoh 48 jam mesti dibuat saringan, apabila tiba di negara kita, mesti dibuat sekali lagi.

"Contohnya, bagi pengembara, mereka akan melakukan ujian secara berkala pada hari-hari tertentu sejurus tiba di Malaysia.

"Selain itu, ada ujian-ujian kendiri yang dilakukan serta memerlukan ketelusan dan kejujuran supaya setiap ujian sama ada positif, negatif atau tidak sah dilaporkan dalam MySejahtera," jelasnya.