Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan lebih fokus memantau pelajar tahfiz seluruh negara kerana kes COVID-19 dalam kalangan mereka semakin meningkat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini kerana mereka berkemungkinan mendapat jangkitan COVID-19 daripada jemaah tabligh dan KKM juga sedang melaksanakan saringan ke atas mereka.

"Namun ramai antara mereka yang telah pulang ke rumah tetapi yang masih duduk di madrasah, kami dapat uji 2,697 pelajar. Yang positif (setakat ini) ialah 250 pelajar iaitu lebih kurang 9.3 peratus.

"Jadi kami masih menjalankan saringan dan ujian untuk pelajar tahfiz. Jadi itu mungkin tindakan kami untuk tempoh seminggu dua ini, mengesan pelajar tahfiz itu," katanya dalam sidang media harian berhubung perkembangan jangkitan COVID-19 di sini, pada Khamis.

Jelas Dr Noor Hisham, sebanyak 9,842 pelajar tahfiz serta lebih 304 madrasah berada dalam rekod KKM.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 28 kluster COVID-19 dikesan di seluruh negara namun beberapa kluster itu sudah tidak aktif kerana sudah melebihi tempoh inkubasi 14 hari.

Sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) masih memantau kesemua kluster itu sama ada masih aktif ataupun tidak.

"Kita memang ada 28 kluster tapi ada kluster dah lebih (tempoh inkubasi) dari 14 hari...," katanya.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India dan kawasan sekitarnya yang dilaksana 14 Julai lepas, Dr Noor Hisham berkata pihaknya telah menyaring sebanyak 558 sampel yang sehingga ini, satu sampel positif dan 28 negatif.

Dalam pada itu PKPD di Bandar Baru Ibrahim Majid, Johor mencatat 11 kes positif baharu, lokaliti PKPD di bukan Kampung Sungai Lui (tiga), dan PKPD Selangor Mansion, Kuala Lumpur dan PKPD Sungai Lui, Selangor masing-masing satu kes.

Sementara itu, bagi pertambahan kes positif baharu bagi kategori kluster pula, kluster Sendayan, Negeri Sembilan 26 kes; kluster gereja di Sarawak (lima); kluster flat di Kampung Bharu, Kuala Lumpur (tiga) kes; dan kluster PUI dari Itali di Sarawak dan kluster madrasah di Sungai Lui, Selangor, masing-masing satu kes.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditarik balik bagi negeri-negeri, jika tiada sebarang kes baharu COVID-19 dicatatkan, Dr Noor Hisham berkata KKM akan meneliti perkara itu.

"Walaupun Kedah, Perlis serta Pulau Pinang, untuk beberapa hari yang lepas kami tidak mempunyai apa-apa kes yang dilaporkan tetapi apa yang lebih penting, kita perlu tunggu tempoh inkubasi selama 14 hari sebelum boleh dikatakan kawasan itu bebas COVID-19.

"Jadi sekarang kami dalam proses untuk menelitinya. Dalam tempoh 14 hari jika tidak ada kes (positif) yang dilaporkan di negeri ini mungkin kita boleh menganggap bahawa negeri itu sebagai zon hijau. Bermakna adalah penting bagi kita untuk melindungi negeri zon hijau," katanya.

-- BERNAMA