KKM sahkan PATI Myanmar dihantar pulang positif COVID-19

Astro Awani
Mei 19, 2020 12:12 MYT
Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, 437 PATI adalah kumpulan pertama yang telah dihantar pulang pulang ke negara masing-masing. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ditahan di depoh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur positif COVID-19.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, individu itu adalah antara 437 PATI yang telah dihantar pulang ke negara masing-masing.
Beliau menjelaskan, mereka adalah antara kumpulan yang telah diasingkan sebelum dihantar pulang.
"Ya betul, kita terima satu laporan dari Myanmar. Jadi kita sedang meneliti kes ini dan setakat ini kita menempatkan 1,400 individu di pusat tahanan depoh Kuala Lumpur.
"Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula, kita mempunyai 437 individu di blok A dan telah diasingkan sebelum 18 Mac lalu dan kumpulan itu tidak menjalani ujian saringan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Noor Hisham berharap kes baharu COVID-19 akan menurun kepada angka dua digit yang lebih rendah.
Beliau memberitahu, dengan dua kawasan sasaran tumpuan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di pasar Chow Kit dan Pudu, KKM masih dapat mengekalkan angka dua digit.
"Kita sedang giat menjalankan ujian saringan ke atas warga asing.
"Walaupun ia adalah kes transmisi tempatan namun majoritinya adalah melibatkan warga asing," jelasnya.
#COVID-19 #Datuk Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #KKM #Kuala Lumpur #Myanmar #PKP