KUALA LUMPUR:Dua lagi kluster COVID-19 dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Kau Sing di Tawau, Sabah dan Kluster Embun di Hulu Langat, Selangor. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks Kluster Kau Sing iaitu kes ke-10755 melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 29 tahun yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 25 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital
Tawau, Sabah.

"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti.

"Daripada tujuh kes yang dikesan positif, sebanyak lima kes merupakan warganegara Malaysia dan dua kes bukan warganegara. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah," katanya dalam satu kenyataan media mengenai COVID-19 pada Ahad.

Sehingga 4 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 27 individu telah disaring.

BACA: COVID-19: 293 kes baharu, 67 pulih, tiada kes kematian

BACA: Kes baharu COVID-19 kekal tiga digit, ini lima tumpuan kenyataan media KKM

"Keputusan saringan menunjukkan tujuh dikesan positif COVID-19, sembilan individu dikesan negatif dan 11 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan," ujarnya. 

Dalam pada itu, Kluster Embun di Hulu Langat, Selangor merupakan kes ke-11147 melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 29 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti.

"Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," ujarnya lagi. 

Kata beliau, sehingga 4 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 52 individu telah disaring.

"Keputusan saringan adalah lima dikesan positif COVID-19, 21 individu dikesan negatif dan 26 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan," tambahnya. 

Sementara itu, KKM mengambil maklum pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri  mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara
pentadbiran di Penjara Alor Setar, Kedah
yang akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam, 6 Oktober 2020.
 
"PKPDB ini akan melibatkan kawasan penjara dan kuarters kakitangan penjara. Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari," katanya. 

Justeru, KKM akan terus menjalankan langkah-langkah kawalan dan pencegahan di kawasan ini dan
bekerjasama dengan pelbagai agensi pihak berwajib.